MENGAPA AKU TERLALU SUNYI

Hari ini tanggal 19 Mei 2011, aku bangun dari tidur seperti  biasa. Tak tahu kenapa saya rasa agak pelik. Mungkinkah sudah biasa dengan hiruk pikuk anak-anak di rumah. Tidak juga. Saya rasa seolah berada dalam dunia tersendiri dan sememangnya aku mahu bersendirian. Aku keluar jendela dan melihat tiupan sekeliling. Hijauan alam flora dengan tiupan angina sepoi-sepoi sungguh nyaman dan tenang. Tapi mengapa aku rasa terlalu sunyi?


Kedengaran bunyi kenderaan, suara manusia nun jauh di sebelah sana..tenggelam oleh bunyi alam, desingan dedaun yang ditiup angin dan bunyi burung burung yang sesekali singgah di atas dahan pokok. Aku lebih tenang mendengar suara alam daripada suara manusia. Aku punya anak-anak, isteri dan ahli keluarga..kadangkala mereka balik kampung, menikmati udara segar di kampung, berjumpa dengan ahli keluarga, dan pelbagai perkara untuk dilakukan.


Aku anggap semua perkara di dunia sebagai luaran..entah mengapa perasaan ini secara tiba-tiba datang seminggu dua ini. Aku lebih suka bersendirian. Apakah aku berada dalam keadaan depression? Tidak..aku rasa tidak apa-apa yang mengganggu aku. Cuma perasaan rindu yang teramat sangat kepada anakku kadangkala timbul membuak-buak tanpa diundang. Aku mahu sahaja memeluk isteri, anak-anakku pada masa ini juga. Berliang air mata memikirkan banyak kesalahan yang telah ku lakukan kepada mereka. Teringat hilai manja anak ku yang masih kecil baru 1 tahun setengah..

Aku cuma manusia biasa, melakukan banyak dosa tapi aku percaya Tuhan sentiasa mengampuni orang yang berdosa..walaupun, kadangkala, acuh tak acuh tapi aku percaya Tuhan itu ada. Aku percaya yang takdir itu hanya Tuhan yang tahu. Dikala aku kesunyian..aku rasa lebih dekat dengan yang Maha Pencipta sebab adakalanya aku akan berlutut dan berserah kepada Nya. Aku tahu hidup ini adalah sementara dan akan diambil olehNya bila-bila masa. Aku juga tidak pernah menyalahkan Tuhan atas penyakit yang aku alami, penyakit yang mampu membawa maut bila-bila masa.

Aku langsung tidak takut nyawaku diambil pada bila-bila masa. Seperti yang dikatakan oleh doktor hidup saya hanya tinggal 6 bulan itupun jika saya bernasip baik. Penyakit kanser tahap 4 yang ku alami. Bagi aku aku mahu menamatkan hidup ini dengan tenang dan tidak mahu menyusahkan orang-orang yang berada di sekelilingku. Maka dengan itu, pada mulanya aku sembunyikan pesakit yang ku alami dari pengetahuan umum termasuk isteri dan anak-anak ku.




 Aku perhatikan diriku di cermin, rambut ku semakin berguguran, kulit semakin pucat dan tidak bermaya. Aku cuba gagahi dengan menempuh hidup ini sehingga ke akhir hayat. Aku redha juga walaupun akhirnya isteri dan anak-anakku mengetahui bahawa aku menghidup penyakit kritikal yang tidak ada penawar.  Aku saksikan kesedihan, kebimbangan dan kerisauan mereka. Walaupun aku bertekad untuk tidak menyusahkan sesiapa…pada realitinya aku menyusahkan mereka-mereka yang berada di sekelilingku. Aku hanya mampu berdoa agar Tuhan dapat menngambil nyawaku dengan aman di dalam rumah…dihadapan anak-anak dan isteriku. Aku bertekad tak mahu mati di hospital.


Saya bersyukur kerana isteriku merestui permintaanku. Dalam masa hari demi hari minggu demi minggu..Tuhan belum mencabut nyawaku. Aku cuba jalani hidupku seperti biasa. Namun entah mengapa hidup ini kurasakan terlalu sunyi. Aku sudah rasakan bahawa aku kini sedang hidup di alam lain. Aku rasakan kematian semakin hampir.  Dengan keadaan diriku yang semakin teruk, sudah ada yang ku rasakan takut akan aku. Malah anakku yang bongsu, takut melihat wajahku yang penuh plaster dan berbau. Aku mahu dan cuba untuk mendukungnya namun dia memalingkan muka. Dia seolah melihat sesuatu yang menakutkan. Aku langsung tidak salahkan mereka. Tapi…aku rasa terlalu sunyi..sunyi dan sunyi…Aku rasa kematian semakin hampir.


Aku sering bermimpi berjumpa dengan ibu dan ayahku yang telah lama meninggal. Entah mengapa mereka seolah-olah mengajak ku ke sana. Tiada lagi malam yang mampu memberikan mimpi indah.Setiap malam aku bermimpi berjumpa dengan mereka yang sudah lama meninggal dunia.Apakah aku sudah nazak dan halusinisasi seperti ini perkara biasa seperti yang pernah ku dengar sebelum ini? Mengapa akau melalui semua ini? Ayahku sudah dahulu meninggalkan kami. Aku cuma berharap aku akan meninggal tanpa membebankan mereka yang masih hidup. Seperti ayahku.. Dan aku mahu dikuburkan bersebelahan dengan kubur ibu bapaku. Aku berharap pesanan ku ini tidak dilupakan.


Banyak yang bermain difikiranku tatkala kadangkala kesakitan tidak terhingga sehingga ‘morfain’ adalah makanan dan minuman ku setiap hari. Ramai orang bercakap ubatan seperti mofain ini hanyalah sebagai penahan sakit. Ya,,aku sudah rasakan kini dan ia sememangnya realiti yang perlu diterima. Namun adakah ubat yang mampu memanjangkan hidup ini? Aku rasakan hanya Tuhan yang berhak keatas saya. Walaupun aku seorang yang langsung tidak percayakan kepada bomoh..namun untuk menyenangkan hati mereka, aku ikutkan sahaja kemahuan mereka. Namun aku hairan, mengapa masih ada kepercayaan terhadap bomoh tersebut yang mengatakan bahawa aku terkena buatan orang? Aku tak percaya langsung..tapi mereka percaya. Aku tak mampu berbuat apa-apa. Jika bomoh itu tahu saya terkena buatan orang mengapa sampai sekarang aku belum sembuh? Semasa aku hidup aku tak pernah mengacau hidup orang lain.. takkan ada orang sanggup menghantar jin untuk membunuh aku.


Dunia ini sememangnya amat pelik. Manusia berlumba-lumba mencari harta duniawi sehingga sanggup untuk merosakkan hidup orang lain. Sanggup membunuh saudara sendiri hanya kerana sebidang tanah. Sanggup tidak bertegur sapa hanya kerana lupa mengucapkan selamat hari lahir.

Agama dipergunakan untuk kepentingan sendiri. Berselindung disebalik kata-kata manis dan muka yang tersenyum. Jauh dilubuk hati tersimpan dendam kesumat. Sanggup berjumpa bomoh untuk menjahamkan saudara sendiri. Apakah yang mereka fikirkan.? Kepuasan? Iya manusia adalah manusia, manusia adalah daging. Seperti daging kerbau yang sudah mati..manusia juga akan mati seperti binatang..tiada manusia yang akan mati tanpa bau mayat!!



Masa aku untuk menjadi mayat semakin hampir. Aku rasakan semakin dekat dengan alam..aku akan menjadi tanah dan buat masa ini aku tak tahu bagaimana menjadi orang mati sehingga aku benar-benar merasakannya. Namun aku takut aku akan dikuburkan sebelum aku mati...aku pernah mendengar kisah ada orang yang hidup semula selepas dikuburkan. Ah..ini fikiran gila sudah. Abang saya meninggal dengan amat perit kerana berada dalam keadaan koma selama 6 bulan sebelum meninggal. Dalam keadaan koma, hanya mata ja yang terkebil-kebil, sesekali jari jemari tergerak. Sengsaranya mati seperti itu. Mengapa Tuhan tidak mencabut sahaja terus nyawanya? Apabila aku mati keak..aku akan tanya kepadanya..apa yang telah terjadi sewaktu dia dalam keadaan koma.


19 Mei 2012, aku rasa semakin hampir. Aku mahu menatap wajah anak-anakku buat kesekian kalinya. Aku mau berbual dengan mereka yang dulunya teman-teman rapatku. Aku mau bagi motivasi kepada adik adik ku yang masih hidup supaya meneruskan hidup tanpa aku. Banyak yang hendak aku kongsikan dengan mereka. Aku terlantar, aku tak berdaya lagi untuk bergerak, mereka hanya sesekali menjenguk aku, menukar lampin dan memberikan aku ubat..memberikan aku minum. Sungguh cepat mereka beredar. Aku mahu ada orang berada disebelah aku ketika aku menghembuskan nafasku yang terakhir. Aku juga betul betul mahu disemadikan dengan aman. Biarlah upacara doa dapat dilakukan...seperti merkea yang ku lihat meninggal dunia. Mereka disatukan dengan Tuhan melalui sembahyang bersama Paderi, diberikan makan hostia. Aku mengharapkan itu semua..aku tak berdaya dan aku tidak menyusahkan saudara-saudaraku untuk itu semua. Biarlah.....


Tapi...aku rasa begitu sunyi..malam demi malam, kedengaran bunyi burung hantu,,adakah itu petanda nyawaku semakin dekat untuk dicabut? Adikku melihat aku dan berkata sesuatu tapi aku tidak mendengar, kemudian dia berlalu pergi. Mungki dia tidak tahan dengan bau pada badanku ini? Atau ada hal yang lebih mustahak dengan kawan-kawan di luar sana. Malam atau siang semakin sama..tiada malam atau siang..aku terbaring sayu dan sunyi. Aku sering melihat benda-benda pelik masuk ke dalam rumah, bayangan hitam pun ada, serigala jadian pun ada, orang-orang matipun selalu memerhatikan aku. Aku menyahut percakapan mereka dengan suarat yang lain. Suara alam mati. Meraka yang hidup tidak mampu untuk memahaminya.



Malam yang sunyi...aku lihat diriku terbaring kaku..aku tidak tahu mengapa. Tapi aku tidak merasakan kesakitan, aku cuba berlari untuk mencari mereka..mereka semua sedang tidur. Aku  cuba untuk membangunkan mereka tapi tanganku tidak dapat menjangkau sesiapapun. Aku melihat banyak orang yang telah mati, mereka nampak pucat..banyak sekali, ada yang tidak kukenali, ada yang hanya kulihat dalam gambar tapi kini aku melihat mereka dengan jelas. Percakapan mereka seperti dalam mimpi, hilang disebalik kesamaran dan kemudian timbul kembali. Aku kembali lagi melihat diriku yang terbaring kaku..mengapa aku jadi begitu?? Oh Tuhan dimanakah aku ini..mengapa aku berjumpa dengan orang-orang yang sudah mati?? Aku tidak percaya. Aku mau bergaul dengan anak-anak dan isteriku. Aku cuba membangunkan mereka namun tidak diendahkan, aku bersuara dengan sekuat mungkin..tapi mereka tidak mendengar.



Aku kini boleh kesana kemari kemana yang aku fikirkan, dengan sekelip mata aku berada di situ. Aku pun tidak tahu.. aku juga melihat burung hantu dengan terbang bersama burung tersebut. Burung hantu itu melihat aku. Matanya tajam merenung aku.. kemudia ia terbang dari dahan ke dahan seolah-olah mengajak ku bermain. Hari semakin terang...aku takut diriku terpanah oleh sinaran cahaya. Di kejauhan aku lihat ramai orang di rumah. Ramai sekali.. aku melihat dan dan tiba-tba aku sudah bersama dengan mereka..mulut mereka terkebil-kepil..ada yang menangis melihat aku. Isteri dan anak-anakku jua berada disitu..mereka semua menangis..aku sangat sedih kerna aku tidak mampu bercakap dengan mereka. Aku mungkin sudah mati. Iya aku harus akui aku sudah mati dan mereka sedang meratapi aku.Aku mau berbual dengan mereka..aku rasa sangat kesunyian..aku hany diam memerhatikan mereka.


Aku cuba mendekati sekumpulan manusia. Tiba-tiba seekor anjing merenung tajam ke arah sambil melenggokkan ekornya. Iya..itu adalah anjing kesayangan aku dan mungkin dia boleh melihat aku..aku juga sangat merindukan anjing ini. Aku juga melihat ramai saudara-saudara yang datang melihat aku. Ada yang membenciku dulu pun datang, tapi ku liht riak wajahnya tiadapun perasaan sedih, aku boleh membaca dari air mukanya..dia hanya datang agar dilihat orang dan bukan untuk memberikan penghormatan kepada ku. Alangkah baiknya pada waktu itu dia datang, menghuurkan salam kemaafan.Ya..dia tidak boleh melihat aku..tapi aku bole membaca apa yang dia fikirkan..aku boleh nampak daripada rohnya.


Aku juga melihat ada orang tua alim..tapi di sekelilingnya terdapat anjing-anjing bergigi tajam yang sedia untuk menerkam.Terdapat ular kecil didalam beg sandangnya yang juga sedia untuk menggigit bila-bila masa. Namun, mereka juga sedang menggigit gigit dan menghisap darah orang tua itu. Dia seperti orang biasa yang berbual bual dengan orang lain. Orang tidak tahu apa yang dia pegang kerana mereka tidak nampak sama sekali. Mahu saja aku ketuk kepala ular itu..tetapi seperti ada sesuatu yang menarik tanganku.







Catat Ulasan

0 Ulasan