Siri Cerita Seram Orang Sabah
Kenangan ini masih terngiang-ngiang walaupun hampir 30 tahun sudah berlalu. Ketika itu saya berada dalam darjah 4. Kejadian berlaku sekitar tahun 80an dimana pada ketika itu memang kebanyakan kampung di pedalaman masih belum ada elektrik jadi memang gelap gelita lah kalau waktu malam. Kampung saya pula masih dikelilingi pokok pokok kayu yang besar seperti pokok roh yang dipanggil 'nunuk' dalam bahasa Dusun.
![]() |
| Misteri Payung Hitam. |
Hendak dijadikan cerita macam ni..
Di kampung saya ni ada seorang nenek yang sudah terlalu lanjut usia dipanggil Bodu-bodu mungkin umur menjangkau 90 tahun , ehmm semua panggil dia ni si Odu. Sebenarnya tidak ada yang terlalu pelik dengan si Bodu ni sebab seperti kebanyakan orang dulu-dulu, masih ramai yang tidak mempunyai pegangan agama pada waktu itu. Si Bodu tinggal dalam sebuah rumah yang dikira agak besar berbanding rumah-rumah dikampung tersebut. Namun seperti orang kampung yang lain, si Bodu juga seperti orang biasa.. punya ternakan seperti ayam dan babi. Dan itulah kerja si Bodu pagi dan petang..memberi makan kepada binatang peliharaannya.
Cerita penting bermula pada satu hari. Masa itu saya tak berapa ingat siapa yang telah meminjam payung si Odu. Mungkin orang tua saya yang pinjam tu payung. Dan payung tersebut saya masih ingat. Payung besar berwarna hitam. Waktu itu mungkin bulan Disember sebab yang saya ingat musim hujan. Tapi yang pasti payung itu masih berada dirumah dan pada satu hari waktu saya lalu dirumah si Odu, dia bercakap dengan saya macam ni.
“ Ondu..pogulio no ri patung ku kio “
( adik.. tolong kembalikan payung saya ya..)
Saya berlalu sebaik si Odu membuat pesanan tersebut.
Keesokannya, seperti biasa, saya datang ke sekolah tidak jauh dari rumah. Kalau jalan kaki lebih kurang 10 minit saja. Memang pun jalan kaki waktu itu. Sewaktu disekolah tiba-tiba saya mendengar satu berita bahawa si Odu sudah meninggal dunia. Terus saya ingat payung hitam yang diminta oleh orang tua itu. Saya belum sempat kembalikan payung hitam yang diminta oleh Si Bodu. Alamak.. terus saya ingat pesanan si Odu
Pada waktu ini bermulalah detik-detik hitam yang tidak mampu saya lupakan sehingga kini walaupun sudah berlalu lebih 30 tahun. Limpas saja rumah tidak berpenghuni itu, memang seram sejuk.. perkara-perkara aneh berlaku seterusnya..
Pada hari kematian si Odu, entah kenapa juga saya terdetik hati untuk melihat mayat si Bodu. Mungkin perasaan ingin tahu agaknya sebab waktu itu saya belum pernah melihat mayat orang mati. Saya sebagai budak darjah 4 waktu itu melihat wajah si Bodu yang sudah mati dengan perasaan bercampur baur. Macam ni pula wajah orang mati dalam hati saya. Keras, pucat, tidur... macam-macam bermain dalam fikiran saya. Dalam hati juga terdetik perasaan menyesal kerana tidak sempat mengembalikan payung si Bodu!!
Keadaaan pada waktu itu, hujan dan banyak kawasan berlumpur. Orang ramai yang berkunjung untuk memberi penghormatan terakhir menggunakan payung dan kain hujan. Saya ingat payung si Bodu, masih terletak di luar rumah. Saya takut tengok payung si Bodu...asal saya nampak payung hitam tersebut, perasaan takut datang. Takut ada hantu si Bodu ambil tu payung.
Malam..seperti biasa keadaan dikampung memang gelap gelita, hanya bercahayakan lampu minyak gas. Itupun kadang-kadang terpadam kalau kena tiupan angin. Saya masih ingat lagi, rumah bambu kami ada dua lampu minyak gas yang digantung di atas dinding. Kamu tau kan lampu minyak gas..
Dengan dinding dan lantai rumah diperbuat dari bambu yang dipanggil siliu..memang banyak lubang-lubang kecil. Atap pun pada waktu itu diperbuat dari daun rumbiah...biasalah pada waktu itu.
Malam kematian si Bodu, saya mula merasakan gangguan, ndak tau cuma perasaan atau memang roh si Bodu memburu saya agaknya. Setiap malam saya sering termimpikan si Bodu menggangu saya, Dalam mimpi saya, si Bodu selalu datang ke rumah mencari payung hitamnya. Kerana takutkan si Bodu, saya cuba bertapuk tapi si Bodu dengan wajah dan mata yang sangat tajam merenung saya. Saya cuba berlari tapi kaki ku bagaikan diikat.
Hampir tiap malam saya mendapat gangguan tidur. gangguan tidur yang sangat menyeksakan . Mendapat mimpi yang buruk sehingga tidak boleh bernafas kalau dalam bahasa Dusun dipanggil 'opilodop'. Sekujur tubuh si Bodu yang telah meninggal sentiasa terngiang-ngiang dalam kepalaku waktu itu dan terbawa-bawa dalam mimpi. Keadaan ini berlaku selama berminggu-minggu dan saya takut untuk tidur. Asal tidur pasti si Bodu datang dalam mimpi!!
Setelah beberapa hari pemergian si Bodu, bermula pula episod baru dalam kehidupan masyarakat kampung. Rumah peninggalan si Bodu menjadi sunyi sepi namun realitinya menjadi bualan mulut penduduk kampung. Banyak cerita yang mengatakan ternampak kelibat si Bodu, masih tinggal di rumah tersebut. Kwikk....Pintu jendela tiba-tiba terbuka walaupun tidak ada orang yang tinggal. Waktu malam, ada orang terdengar si Bodu sedang menghancurkan sirih pinang.
Abang ipar saya sendiri nampak kelibat si Bodu betul-betul didepan mata. Dengan lampu torch light dia ternampak hatu si Bodu dengan pakaian serba hitam sedang berdiri berdekatan pintu rumah. Roh si Bodu.. Waktu malam dalam beberapa minggu berikutnya, masih ada penduduk kampung yang terlihat kelibat roh si Bodu. Macam- macam cerita yang samapi ke telinga. Namun, yang paling menakutkan ialah apabila pintu jendela tiba-tiba terbuka dan kelihatan bayangan hantu si Bodu di dalam jendela. Buka satu dua kali, tapi banyak kali pintu dan jendela tiba-tiba terbuka sendiri.
Apa yang terjadi dengan payung hitam? selepas berminggu-minggu saya mendapat gangguan si Bodu sehingga takut untuk tidur, akhirnya, saya meluahkan perasaan saya kepada ibu saya. Satu upacara untuk menenangkan roh si Bodu dilakukan. Payung hitam yang sudah berada di rumah selama berminggu-minggu dihantar ke tapak kubur si Bodu tapi bukan sembarangan orang yang melakukannya melainkan dilakukan oleh orang-orang yang berilmu dalam adat-adat lama.
Sekarang, rumah si Bodu semakin usang dan di mamah usia. Walaupun bangunan konkrit tersebut masih tersergam.. ia semestinya bakal di telan zaman dan usang. Kadangkala masih wujud perasaan seram apabila lalu di kawasan itu seorang diri....
Semoga roh si Bodu damai disana.


0 Ulasan